PUTRAJAYA - Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 akan membentangkan garis panduan mengenai proses agihan dos ketiga dan dos penggalak vaksin Covid-19 minggu depan.

Ketika ini panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos itu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara itu perlu diperhalusi disebabkan terdapat perbezaan antara agihan dos ketiga dan dos penggalak.

"Dos ketiga diberikan apabila tindak balas imun terhadap dua dos tidak mencukupi dan mereka memerlukan dos ketiga bagi memperoleh tindak balas optimum.

"Keutamaan bagi dos ketiga ini pada kumpulan berisiko tinggi seperti petugas barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun dan warga tua dengan komorbiditi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Manakala dos penggalak pula adalah bagi mereka yang sudah lengkap dua dos tetapi tindak balas imun sudah mula turun selepas beberapa bulan.

"Dos penggalak akan diberikan sebagai perangsang kepada sistem imun supaya ia lebih berkesan terhadap Covid-19.

"Kita akan memberi keutamaan agihan bagi dos ketiga dahulu diikuti dos penggalak mulai bulan depan sebaik mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)," kata Khairy Jamaluddin.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan setuju untuk memberikan dos ketiga vaksin Covid-19 sebagai langkah meningkatkan perlindungan kepada orang ramai.

Katanya, keutamaan akan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi terlebih dulu.

Mereka termasuklah petugas barisan hadapan, pesakit kurang daya tahan imunisasi, warga tua dengan komorbiditi dan individu yang bekerja atau tinggal di pusat jangka panjang.

Menurut Ismail Sabri, pemberian dos ketiga itu akan dibuat selepas liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.