PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengingatkan orang ramai agar menjalani ujian kendiri COVID-19 sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya ingin pulang ke kampung.

Beliau berkata demikian sekiranya negara memasuki fasa endemik, sekatan jalan raya tidak lagi dilaksanakan termasuk pemeriksaan keatas individu yang sudah lengkap divaksinasi atau sebaliknya.

"Sekiranya rentas negeri dibuka semula, tanggungjawab dan tingkah laku bergantung kepada individu itu sendiri. Saya percaya kita dapat menghadapi cabaran ini dalam #ReopeningSafely.

"Sekiranya anda ingin pulang ke kampung dan bertemu dengan golongan berusia, lakukan kit ujian kendiri COVID-19 (RTK) air liur. Jaga keselamatan mereka.

"Hanya tinggal 1.6 peratus (belum divaksinasi lengkap) sebelum sempadan negeri dibuka. Kini Kementerian Kesihatan (KKM) sudah beralih ke ujian simptomatik.

"Kami meminta orang yang berada dalam persekitaran dan bertemu dengan ramai orang atau mobiliti tinggi untuk melakukan ujian secara berkala," katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Sebelum ini data yang dipaparkan dalam laman web COVIDNOW menunjukkan sebanyak 20,698,852 atau 88.4 peratus populasi dewasa di negara ini sudah lengkap menerima imunisasi COVID-19 manakala 94.5 peratus sekurang-kurangnya menerima satu dos vaksin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan, kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.

Perkara berkenaan diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 22 September lalu.