PUTRAJAYA - Orang ramai diseru supaya memuat turun aplikasi MySejahtera dalam membantu usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Aplikasi yang dibangunkan oleh kerajaan ini membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

Antaranya membantu individu mengenal pasti hospital dan klinik terdekat untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini aplikasi tersebut telah mempunyai 770,216 pendaftaran dan 929,276 penilaian kesihatan.

Menurut beliau, ia boleh dimuat turun menerusi Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA), Apple AppStore, Google PlayStore dan Huawei AppGallery.

"Aplikasi MySejahtera juga akan memperkenalkan MySejahtera Check-In yang merupakan aplikasi pendaftaran dan pengawalan kemasukan pelawat secara berstruktur dan seragam ke premis-premis perniagaan termasuk kilang, tapak pembinaan dan pejabat.

"Ini juga berfungsi bagi membantu kerajaan dalam pengurusan dan pengawalan jangkitan wabak Covid-19 sewaktu pengoperasian semula ekonomi negara," ujarnya pada sidang akhbar di sini hari ini.

MySejahtera Check-In juga boleh digunakan bermula di tiga buah cawangan pusat beli-belah AEON mulai Selasa ini.