KUALA LUMPUR - Hanya guru yang lengkap divaksin sahaja ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dibenarkan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas dan berinteraksi dengan murid.

Ia termasuklah dalam penyediaan pelan komprehensif pembukaan sekolah bagi memastikan murid dapat kembali belajar secara bersemuka dalam keadaan selamat.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, KPM telah mengadakan sesi libat urus yang menyeluruh bagi mendapatkan pandangan dan cadangan daripada semua pihak berkepentingan.

“Pelan itu juga dibuat melalui analisis terperinci bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta diselarikan dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bagi memastikan kelancaran pengoperasian sekolah, KPM telah menyediakan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 sebagai rujukan kepada jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) dan pentadbir serta guru,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bashir Alias yang ingin mengetahui apakah bentuk kajian, analisis risiko situasi Covid-19 dan aspek-aspek yang dipertimbangkan oleh pihak Kementerian bagi menentukan keputusan pembukaan sekolah.

Garis panduan pengurusan itu termasuk mewajibkan pemakaian pelitup serta memastikan sistem pengudaraan yang baik di dalam kelas.

Selain itu, KPM juga mengambil ketetapan untuk menghadkan kapasiti murid di sekolah pada kadar 50 peratus enrolmen keseluruhan.

Media sebelum ini melaporkan, KPM kekal dengan pendirian untuk memindahkan guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 sebaik sesi persekolahan bersemuka dibuka secara berperingkat, bermula semalam.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan sesi PdP di sekolah kelak tidak terjejas.

Katanya, guru juga sebagai penjawat awam, harus akur kepada ketetapan Jabatan Perkhidmatan Aawam (JPA) mengenai syarat vaksinasi lengkap pada pegawai perkhidmatan awam.
habis