KUALA LUMPUR – Pembentangan Bajet 2022 disambut dengan berita gembira apabila kerajaan bersetuju untuk menyalurkan bantuan sebanyak RM2,000 menerusi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bagi mengurangkan bebanan rakyat menghadapi pandemik Covid-19.

Bantuan itu akan melibatkan isi rumah yang mempunyai tiga orang anak dan lebih selain purata pendapatan bulanan dibawah RM2,500 sebulan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan kali ini adalah yang tertinggi berbanding sebelum ini di mana Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) hanya memperuntukkan sebanyak RM1,800.

“Bantuan tunai langsung itu ditambah baik dengan memperkenalkan BKM untuk memberi lebih tumpuan kepada mereka yang terkesan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat.

Kerajaan juga mengumumkan syarat Kelayakan Kebajikan terkini dinaikkan kepada RM1,169 berbanding RM980 sebelum ini selain memperuntukkan RM25 juta kepada Yayasan Keluarga Malaysia bagi usaha melindungi kebajikan dan pendidikan anak-anak.

Sebanyak RM32.4 billion turut diperuntukkan untuk Kementerian Kesihatan (KKM), pertuntukan yang kedua terbesar selepas sektor pendidikan.

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju untuk menambah RM4 billion khusus untuk meneruskan usaha menangani Covid-19 dan meningkatkan kapasiti kesihatan awam.

Seramai 3 juta pelajar akan menerima RM150 seorang dibawah Bantuan Awal Persekolahan yang diperkenalkan oleh kerajaan sempena Belanjawan 2022.

Menteri Kewangan berkata, bantuan itu memperuntukkan sejumlah RM450 juta.

“Selain itu, kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih melancarkan Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

“Bagi tujuan itu, sebanyak RM450 juta diperuntukkan bagi pemberian tablet, telefon bimbit dan komputer riba kepada pelajar-pelajar golongan B40,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022.