KUALA LUMPUR - Sebagai persediaan bagi pembukaan sesi persekolahan, kerajaan bersetuju untuk menyediakan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 berbanding RM100 sebelum ini.

Agihan ini bakal memberi manfaat kepada tiga juta murid yang layak melibatkan peruntukan berjumlah RM450 juta.

Kerajaan buat pertama kalinya bersetuju menyediakan Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar sekali bayar sebanyak RM100 sebagai menghargai peranan guru-guru ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, menerusi bantuan itu, lebih 400,000 guru sekolah di Kementerian Pendidikan bakal menikmati manfaat itu.

“Selain itu, kerajaan akan terus menaik taraf sekolah-sekolah daif dengan peruntukan dinaikkan kepada RM746 juta.

“Sebilangan besar peruntukan ini adalah untuk menaik taraf sekolah daif dengan 112 projek di Sabah dan 165 projek di Sarawak,” katanya di Dewan Rakyat tadi.

Kementerian Pendidikan Malaysia juga terus menerima peruntukan terbesar iaitu sejumlah RM52.6 bilion atau 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan pada Bajet 2022.

Bajet ini kekal mengutamakan pendidikan sebagai segmen terpenting perbelanjaan negara termasuk peruntukan RM14.5 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Dalam pembentngan tersebut, kerajaan memperuntukkan RM1.5 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri menerusi Bajet 2022.

Tengku Datuk Seri Zafrul berkata, kerajaan akan melaksana tiga inisiatif iaitu membina sebuah Sekolah Menengah Agama di Labuan dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM65 juta.

Keduanya, meluaskan skop pengajaran Takmir di bawah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) kepada agensi-agensi Kerajaan seperti Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan menambah 1,000 orang Guru Takmir.

Katanya, ketiga adalah menyalurkan pemberian khas sekali bayar sebanyak RM500 untuk manfaat 70,000 orang Imam, Bilal, Siak, Noja, Marbut, Guru Takmir dan Guru KAFA.

Turut menerima bantuan khas ialah sebanyak 20,000 pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk tempoh tiga bulan melibatkan peruntukan belanjawan sebanyak RM85 juta.

“Selain itu, kerajaan juga akan memberikan geran padanan bagi tujuan pembaikan kepada 738 hotel bajet yang berdaftar di bawah Motac serta geran pembaikan kepada pemilik inap desa berdaftar dengan peruntukan berjumlah RM30 juta.

“Pemberian geran padanan kepada syarikat yang menganjurkan program berkaitan seni dan budaya juga akan diperuntukan dengan dana sebanyak RM50 juta serta RM60 juta untuk tujuan promosi pelancongan,” kata Menteri Kewangan.