PUTRAJAYA – Berita gembira menanti rakyat yang layak apabila bakal menerima pembayaran Fasa 2 Bantuan Khas Covid-19 (BKC) mulai Khamis ini dengan peruntukan sebanyak RM300 juta.

Bayaran tersebut melibatkan 700,000 penerima isi rumah, individu bujang dan warga emas yang tergolong dalam kategori miskin.

"Semakan status kelulusan BKC boleh dibuat melalui Portal BKC, iaitu https://bkc.hasil.gov.my," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini.

Pembayaran seterusnya iaitu Fasa 3 BKC akan dilaksanakan pada Disember melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40.

"Ingin saya tegaskan kerajaan sentiasa peka terhadap keluh-kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC ini mampu meringankan beban rakyat yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, kerajaan juga akan terus komited memastikan bantuan yang disediakan dapat disalurkan secara berkesan," katanya.

Pada 28 Jun lalu, kerajaan telah mengumumkan Pakej PEMULIH sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik Covid-19.