PUTRAJAYA - Kluster pendidikan kembali meningkat pada minggu epidemiologi (ME) ke-48 yang dicatatkan bermula 28 November sehingga 4 Disember lalu.

Data mendapati, daripada 16 kluster baharu melibatkan institusi pendidikan, sebanyak 12 kluster berlaku di sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi (IPT).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan semula kluster pendidikan bukanlah sesuatu yang dipandang ringan.

Katanya, situasi tersebut tidak boleh dipandang ringan memandangkan individu daripada pelbagai isi rumah akan berada dalam ruang dan waktu yang sama.

"Ketidakpatuhan seseorang individu terhadap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada akan mencetuskan kluster yang tidak ingini," katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Justeru katanya, Kementerian Kesihatan akan mengingatkan semula bahawa pengambilan vaksin tidak bermakna pematuhan SOP tidak diperlukan lagi.

Malah, pemakaian pelitup muka dengan cara yang betul dan kebersihan tangan masih penting bagi mencegah jangkitan.

"Elakkan tempat sesak kerana penjarakan fizikal perlu dijaga. Perkukuhkan tindakan kesihatan kendiri dengan mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, and Seek).

"Kita perlu menjadi individu bertanggungjawab dan melindungi orang di sekeliling daripada risiko jangkitan," ujarnya.