KUALA LUMPUR - Pembukaan sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 yang bermula 9 dan 10 Januari ini ditetapkan melibatkan kumpulan murid yang perlu hadir bersemuka secara penggiliran atau sebaliknya.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan memaklumkan, kumpulan murid sekolah rendah yang perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran melibatkan murid berkeperluan khas (MBK), sekolah kebangsaan pendidikan khas (SKPK) dan program pendidikan khas integrasi (PPKI).

Menurut kenyataan itu, ia turut membabitkan murid prasekolah, Tahun 1, Tahun 2, Tahun 6 serta semua murid bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Manakala murid Tahun 3, Tahun 4 dan Tahun 5 pula hadir secara penggiliran.

"Murid MBK di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan PPKI hadir secara bersemuka tanpa penggiliran.

“Murid kelas peralihan, Tingkatan 4, Tingkatan 5, Tingkatan 6, prauniversiti serta kelas peperiksaan antarabangsa juga hadir secara bersemuka tanpa penggiliran sekiranya kadar vaksinasi lengkap dalam kalangan kumpulan murid tersebut mencapai 90 peratus atau lebih," ujar kenyataan itu.

Menjelaskan lebih lanjut, kata kenyataan tersebut,
murid Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 pula kehadiran mereka adalah secara penggiliran.

Kementerian turut menetapkan sekolah harian dan sekolah swasta, termasuk sekolah ekspatriat yang mempunyai pelajar kurang daripada 300 murid beroperasi sepenuhnya dengan kehadiran tanpa penggiliran.

Bagaimana pun, bagi sekolah dengan jumlah pelajar melebihi 300 murid, pihak pentadbiran boleh memohon kepada kementerian untuk beroperasi sepenuhnya dan penilaian akan dibuat sebelum kelulusan diberikan.

“Bagi sekolah berasrama sepenuhnya, murid Tingkatan 4, Tingkatan 5, Tingkatan 6, prauniversiti, IBDP dan kelas peperiksaan antarabangsa yang setara hadir secara bersemuka tanpa penggiliran.

“Murid Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 di sekolah berasrama sepenuhnya mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya.

Pengoperasian kolej vokasional pula adalah secara bersemuka tanpa penggiliran mulai 9 Januari ini manakala untuk kolej matrikulasi, pembelajaran secara pdPR untuk program matrikulasi sistem dua semester dan sistem empat semester.

“Bagi institut pendidikan guru (IPG) pula, semua program pengajian akan memulakan kuliah secara bersemuka mengikut kalendar akademik yang sedang berkuat kuasa," ujar kenyataan itu.