KUALA LUMPUR - Urusan mengerjakan umrah kini terpaksa ditangguhkan berikutan keputusan kerajaan mengeluarkan arahan menangguhkan sementara perjalanan ke Arab Saudi bermula 8 Januari ini.

Penangguhan tersebut dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan varian Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes Covid-19.

Bagaimana pun, jemaah yang akan berlepas pada 1 hingga 7 Januari dibenarkan untuk meneruskan perjalanan namun perlu menjalani kuarantin.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu, kerajaan bersetuju memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah.

Penangguhan itu katanya sehinggalah pada satu tempoh yang akan dimaklumkan, sehubungan itu semua urusan tempahan tiket penerbangan baharu ditangguhkan berkuatkuasa 1 Januari.

"Bagi jemaah yang pulang pada 3 Januari pula, mereka perlu menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti.

"Manakala jemaah yang akan berlepas pada 1 hingga 7 Januari, mereka juga perlu menjalani kuarantin apabila kembali ke tanahair," katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Pada sidang akhbar yang sama, Khairy Jamaluddin turut memaklumkan kira-kira 1,306 jemaah umrah positif Covid-19 hasil pengesanan dilakukan sepanjang 13 Oktober hingga Disember lalu.

Katanya, jumlah itu adalah daripada pengesanan melibatkan 11,108 jemaah.

Daripada jumlah tersebut 592 kes dikesan positif pada ujian pertama semasa hari ketibaan di Malaysia dan 714 pada ujian kedua semasa kuarantin.

"Pada masa sama, dua lagi kes varian Omicron dikesan semalam menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak 64 kes iaitu 63 melibatkan pengembara dan satu kes disyaki jangkitan tempatan.

"Daripada 64 kes jangkitan Covid-19 varian Omicron ini, sebanyak 32 kes atau 50 peratus dikesan dalam kalangan jemaah umrah manakala sehingga 30 Disember lalu terdapat sembilan kluster yang melibatkan jemaah umrah," ujarnya.