KUALA LUMPUR - Kes harian Covid-19 di negara ini terus merekodkan trend peningkatan apabila mencatatkan sebanyak 11,034 berbanding 10,089 semalam.

Lonjakan angka ini menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 2,925,254 juta.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan menjangkakan kes harian Covid-19 boleh mencecah sehingga 22,000 sehari menjelang akhir Mac ini sekiranya bacaan kadar kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (Ro) sekiranya nilai itu kekal 1.2 hingga hujung bulan depan.

Melihat pada trend semasa itu, majikan di negara ini disaran untuk meneruskan amalan bekerja dari rumah (WFH) atau melaksanakan sistem penggiliran kehadiran ke pejabat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, amalan BDR bagi memastikan persekitaran selamat di tempat kerja.

“Kerajaan juga menyarankan majikan membantu pekerja melakukan ujian segera Covid-19 sekiranya bergejala memandangkan ada sesetengah pekerja sukar untuk mendapat kit calitan.

"Majikan juga disaran mendapatkan insentif khas disediakan Kementerian Kewangan bagi mengubahsuai sistem pengudaraan di tempat kerja.

"Ini dalam memastikan tahap keselamatan di tahap maksimum serta kesihatan pekerja diambil perhatian" ujarnya pada sesi sidang akhbar khas di sini.

Dalam pada itu kata Khairy Jamaluddin lagi,
peningkatan kes Covid-19 ketika ini bukan satu konspirasi kerajaan untuk menangguhkan perayaan Aidilfitri pada Mei depan.

Sebaliknya situasi sama dihadapi setiap negara antarabangsa.

"Gelombang Omicron bukan sahaja dihadapi di Malaysia tetapi turut menyaksikan peningkatan di negara-negara lain termasuk Eropah.

“Singapura melaporkan lebih 13,208 kes baharu jangkitan Covid-19 pada 4 Feb 2022, 3 kali ganda berbanding hari sebelumnya.

“Pada 5 Februari,Korea pula melaporkan kes harian sebanyak 38,670 kes, Indonesia (33,729 kes), Thailand (10,879 kes), Filipina (7,469 kes), Australia (22,985) kes dan Jepun 102,275 kes,” katanya.