KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,055 buah sekolah terpilih akan dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Covid -19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

Bertindak sebagai lokasi pemberian vaksin secara berkelompok, ia dijangka yang beroperasi selewat-lewatnya Isnin ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, perkara tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan bagi memudahkan proses vaksinasi.

Jelas beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (CITF-C), jika perlu mungkin pusat berkenaan boleh ditambah.

"Senarai nama kanak-kanak yang layak akan disediakan oleh pihak sekolah.

"Pemberian vaksin dilaksanakan oleh pasukan kesihatan sekolah atau pengamal perubatan swasta," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ibu bapa serta penjaga yang mempunyai aplikasi MySejahtera perlu mendaftar kanak-kanak sebagai tanggungan dalam MySejahtera bagi mendapatkan janji temu vaksin dan sijil digital vaksinasi.

Manakala bagi ibu bapa atau penjaga yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera pula, tarikh dan lokasi janji temu akan dimaklumkan oleh pihak pengurusan sekolah.

Usaha itu susulan pelaksanaan PICKids yang dimulakan pada peringkat kebangsaan 3 Februari lalu dengan menyasarkan 3.6 juta kanak-kanak lima hingga 12 tahun.