SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) menangguhkan majlis konvokesyen ke-93 yang sepatutnya bulan depan pada Jun hingga Julai ini.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, penangguhan itu melibatkan 27,287 graduan di UiTM Shah Alam, UiTM Cawangan Sarawak dan UiTM Cawangan Sabah.

"Keputusan ini dibuat berdasarkan saranan pihak Kementerian Kesihatan dan keprihatinan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berikutan peningkatan jangkitan Covid-19.

"Justeru, situasi terbaru ini membimbangkan pihak universiti dan penangguhan adalah mengambil kira keselamatan graduan serta warga universiti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau lagi, pihak UiTM memohon maaf atas segala kesulitan dengan situasi yang di luar kawalan ini.

Pada masa sama maklumat terkini mengenai penangguhan konvokesyen boleh dirujuk di laman sesawang konvokesyen.uitm.edu.my.