KUALA LUMPUR - Ujian bertulis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan dilaksanakan bermula 2 Mac sehingga 29 Mac ini.

Kira-kira 407,097 calon akan menduduki ujian bertulis peperiksaan SPM tahun 2021 di 3,382 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Menerusi kenyataan akhbar Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberitahu, ia juga melibatkan 50,514 petugas peperiksaan.

Menurut kenyataan itu, pelantikan tersebut bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.

"Semua calon diminta merujuk jadual waktu SPM 2021 untuk maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi.

"Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari portal rasmi LP di http://lp.moe.gov.my," katanya.

Calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.

Dalam pada itu, calon SPM diingatkan supaya mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam.

"Ketetapan ini adalah bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak Covid-19.

"Garis panduan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM di https://www.moe.gov.my," kata kenyataan itu.