PUTRAJAYA - Sebanyak 412 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditambah untuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids) secara walk-in di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, ibu bapa yang belum mempunyai janji temu vaksinasi untuk anak-anak berusia lima hingga bawah 12 tahun digalakkan membawa mereka ke PPV berdekatan.

Menurut beliau, ibu bapa juga digalakkan menggunakan masa cuti sekolah ini untuk mendapatkan vaksinasi anak-anak secara walk-in.

"Jika kuota vaksinasi kanak-kanak pada hari tersebut telah habis di PPV yang dihadiri, ibu bapa boleh memilih untuk datang semula PPV itu keesokan hari.

"Mereka juga boleh mendaftarkan anak untuk dapatkan slot vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelas beliau lagi, senarai PPV walk-in untuk PICKids dan dos penggalak, mengikut negeri dilampirkan untuk rujukan ibu bapa. Ibu bapa yang mendaftarkan anak untuk menerima vaksin akan menerima pautan tempahan janji temu.

Melalui pautan ini, mereka boleh memilih tarikh dan lokasi vaksinasi mengikut kesesuaian waktu ibu bapa atau penjaga.

Sehingga 1 Mac seramai 904,368 orang kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 menerusi PICKids yang bermula sejak 3 Februari.

Angka ini bersamaan 25 peratus daripada jumlah kanak-kanak yang berdaftar.