KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan memutuskan bahawa bermula 17 April ini tiada lagi kehadiran murid ke sekolah secara penggiliran di semua sekolah seluruh negara.

Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi rakaman video di Facebook memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas melihat kelancaran sesi persekolahan secara bersemuka bagi sekolah rendah sejak 21 Mac lalu.

"Apa yang penting, saya nasihatkan murid-murid dan guru supaya mematuhi SOP yang sudah ditetapkan.

"Walaupun kita sedang bergerak dari fasa peralihan ke endemik namun kita masih perlu mengekalkan SOP khususnya apabila semua murid hadir ke sekolah tanpa penggiliran kelak," katanya.

Justeru, beliau memohon jasa baik ibu bapa supaya sentiasa mengingatkan anak-anak supaya kepatuhan kepada SOP itu satu keutamaan.

KPM sebelum ini menetapkan murid Tahun 3, Tahun 4 dan Tahun 5 akan hadir ke sekolah secara penggiliran terutama bagi jumlah murid di sekolah melebihi 600 orang.

Bagi sekolah rendah yang jumlah muridnya di bawah 600 orang pula, semua murid termasuk sekolah swasta perlu hadir tanpa penggiliran.

habis