SEPANG - Mereka yang mengusahakan perniagaan makanan di rumah digalakkan mendaftar perniagaan mereka dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan jaminan keselamatan.

Ini juga memudahkan produk tersebut mengikut garis panduan yang ditetapkan kementerian.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, faktor kualiti makanan juga dapat diberi jaminan sekali gus membantu memberi nilai tambah pada produk.

Menurut beliau, walaupun ia tidak wajib tetapi Inisiatif tersebut sangat dialu-alukan.

"Mereka yang memohon perlu menepati protokol keselamatan dan kualiti makanan termasuk dari segi penyediaan, persekitaran dan penghantaran.

"Sebagai contoh mengambil suntikan typhoid dan ia seperti mana di restoran. Kita akan senaraikan pengusaha ini di dalam senarai pengusaha serta dipaparkan pada laman web KKM," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan di Sepang, Selangor hari ini.

Khairy Jamaluddin berkata, ia memerlukan kualiti makanan dan semakan kepada kualiti yang memastikan Keluarga Malaysia dapat makanan yang selamat.

“Sebab itu, kita ada penyenaraian pengendali makanan dari rumah. Ini bukan sijil wajib tetapi kita galakkan supaya mereka ada dalam senarai KKM,” katanya.

Pada sidang akhbar sama, Khairy Jamaluddin berkata, lebih banyak permintaan pembelian makanan melalui platform dalam talian p-hailing dan kementerian bekerjasama rapat dengan syarikat tersebut.

Ini untuk meningkatkan kesedaran mengenai kualiti dan keselamatan dalam kalangan vendor dan pengusaha.