SHAH ALAM - Pemilik semua jenis perniagaan besar atau kecil perlu mencarum pekerja mereka dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ini termasuklah gerai tepi jalan seperti menjual nasi lemak dan pisang goreng kerana mereka tidak terkecuali sekiranya pemeriksaan dilakukan.

Berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) mewajibkan majikan mencarum sekiranya mempunyai walaupun seorang pekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata,
akta tersebut tidak mengecualikan mana-mana majikan supaya melunaskan tanggungjawab.

"Kalau meraka ada seorang pekerja sama ada kedai tepi jalan (jual) pisang goreng dan nasi lemak pagi-pagi, sila daftar dan carum.

"Tidak ada sesiapa akan terlepas dalam Ops Kesan ini dan (majikan) jangan lihat ini sebagai bebanan. Kalau ada apa yang berlaku kepada pekerja siapa hendak tanggung kehidupan dan keluarganya," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Ops Kesan Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di Shah Alam, Selangor.

Mohammed Azman menjelaskan, caruman Perkeso adalah kecil dan tidak akan membebankan majikan.

Katanya, sebagai contoh gaji minima RM1,200, caruman yang perlu dibuat majikan adalah 1.75 peratus dan pekerja 0.5 peratus.

"Mengikut jumlahnya pula cuma sekitar RM20 sahaja, jadi tidaklah membebankan.

"Kalau ada caruman Perkeso, insyaAllah dari segi perubatan, pemulihan, hilang upaya dan berlaku kematian (sekiranya), keluarga mereka akan terjamin," katanya.