Kuala Lumpur- Orang awam digesa tidak membeli dan menggunakan produk kosmetik yang disahkan mengandungi racun.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan  produk ‘Momila Beauty Whitening Cream’ mengandungi racun berjadual iaitu Merkuri.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan. Ia boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

“Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Dadah dan Kosmetik 1984”, katanya dalam kenyataan media hari ini.

Individu yang melakukan kesalahan dibawah peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebih RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Noor Hisham juga mengingatkan orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk menghentikan penggunaannya dan mendapat kan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaaan atau kesan advers.

“Orang awam juga digalakkan untuk menyemak status notifikasi produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Goofle Play Store,” katanya.