KUALA LUMPUR - Rakyat berpendapatan bawah RM2,500 dan mempunyai lima anak atau lebih, mampu tersenyum apabila Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) diberikan sehingga RM2,500 bagi isi rumah tersebut.

Ia merupakan kategori baharu yang diwujudkan sebagai usaha untuk mengurangkan beban isi rumah yang mempunyai ahli keluarga besar.

Perkara itu diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada sesi pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat.

“Bagi isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 dan menanggung seorang sehingga lima anak, bantuan BKM sebanyak RM1,000 hingga RM2,000 akan disalurkan kepada mereka yang layak.

“Bagi isi rumah yang menerima pendapatan RM2,500 hingga RM5,000 pula, bantuan sebanyak RM500 sehingga RM1,250 diberikan bergantung kepada bilangan anak yang ditanggung,” katanya.

BKM 2023 ini akan memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima dan melibatkan peruntuk sebanyak RM7.8 bilion.

Bagi golongan warga emas yang tiada pasangan dan golongan bujang pula, kerajaan akan terus menyalurkan bantuan masing-masing sebanyak RM600 dan RM300 bergantung kepada had pendapatan
tertentu.

Bantuan kepada ibu bapa tunggal juga dinaikkan sehingga RM3,000 berbanding RM2,500 pada perbentangan bajet tahun lalu iaitu tambahan sebanyak RM500.