SUNGAI BULOH –Para pengundi yang positif Covid-19 akan dikawal rapi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata individu yang disahkan positif Covid -19 mestilah melaporkan status terkini menerusi MySejahtera bagi melancarkan urusan pengundian di pusat mengundi.

“Pengundi yang positif Covid-19 diwajidkan mendaftar menerusi MySejahtera dan mereka akan menerima satu pautan daripada Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang menjelaskan tentang garis panduan khas untuk tindakan selanjutnya.

“Selain memastikan pemakaian pelitup muka, mereka tidak dibenarkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Mereka haruslah menggunakan pengangkutan sendiri untuk ke pusat pembuangan undi.

“Setiba di pusat pembuangan undi mereka mestilah melaporkan status jangkitan Covid-19 kepada petugas khas KKM di pintu masuk pusat mengudi yang telah disediakan.

“Setelah status mereka disemak menerusi MySejahtera, mereka akan diiringi oleh petugas KKM sehingga ke bilik mengundi. Mereka tidak dibenarkan beratur dan selepas selesai mereka boleh terus balik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media status terkini Covid-19 di Hospital Sungai Buloh hari ini.

Pada masa yang sama, Khairy Jamaluddin juga turut menyatakan jangkitan wabak Covid-19 kini menurun sebanyak 13.4 peratus berbanding dua minggu yang lalu.

“Dua minggu lalu saya keluarkan nasihat berkaitan dengan gelombang Covid-19 baharu yang melanda negara. Sokongan daripada rakyat yang mendengar nasihat KKM, kita lihat pada minggu lalu kes baharu menurun sebanyak 13.4 peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Saya juga sudah bertanyakan kepada Timbalan Ketua Pengarah KKM serta pakar daripada bahagian penyakit berjangkit bagaimana dengan kemasukan pesakit Covid- 19 di hospital, tiada peningkatan dilaporkan dan jumlahnya kini dilihat mula turun.

“Dengan itu saya yakin bahawa situasi Covid-19 dan gelombang kecil ini dalam keadaan terkawal. Jadi kita nasihatkan masyarakat untuk terus berwaspada dan berhati-hati terutamanya pada hujung minggu ini kerana akan adanya ceramah, kempen serta hari pengundian yang akan berlakunya kesesakan.

Beliau juga menggalakkan menggunakan cecair nyah kuman sebelum dan selepas mencelupkan jari pada dakwat.

“Siapa yang positif sila gunakan cecair nyah kuman. Sebab kita bimbang virus boleh merebak di permukaan yang disentuh,” katanya lagi.