PUTRAJAYA - Rakyat yang tidak lulus dalam permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) boleh menarik nafas lega apabila tempoh rayuan dilanjutkan sehingga 31 Mei ini. 

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Menteri Kewangan bersetuju untuk melanjutkan tempoh rayuan berdasarkan suara rakyat yang tidak berjaya dalam permohonan bantuan tersebut. 

"Saya dengar ada rungutan daripada orang ramai yang gagal menerima bayaran ini atas pelbagai sebab.

"Antaranya kerana maklumat yang diisi tidak lengkap, permohonan ditolak kerana dalam rekod menunjukkan pendapatan melebihi syarat kelayakan tetapi mereka sebenarnya sudah hilang pekerjaan dan hilang sumber pendapatan serta pemohon adalah pelajar yang menerima bantuan BPN bagi kategori bujang," katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri di sini.

Beliau berkata, kerajaan tidak berjanji sepenuhnya sama ada rayuan yang dikemukakan boleh diluluskan. 

Bagaimanapun, katanya, jika pemohon memenuhi syarat ditetapkan, permohonan mereka mungkin dapat diluluskan.

Katanya, pemohon boleh hadir ke ke kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau menghantar emel bagi permohonan rayuan tersebut. 

Sehingga semalam, kerajaan telah meluluskan 2.3 juta permohonan BPN termasuk permohonan baharu dan rayuan membabitkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.7 bilion.

Daripada kelulusan tersebut, jumlah penerima BPN setakat ini adalah 10.6 juta orang membabitkan bayaran berjumlah RM11 bilion.