KUALA LUMPUR - Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan Gred 56 dan ke bawah serta pesara kerajaan bakal menerima Bantuan Khas Aidilfitri pada 20 Mei ini. 

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, penjawat awam terbabit akan menerima bantuan sebanyak RM500. 

Menurutnya, turut menerima bantuan khas itu adalah pesara kerajaan yang menerima pencen, bernilai RM250. 

"Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM500 dipanjangkan kepada pekerja sambilan harian (PSH) yang masih berkhidmat dengan syarat tempoh kontraknya sudah berkuat kuasa sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut.

"Pesara yang dilantik semula secara perkhidmatan kontrak dan masih berkhidmat pada 20 Mei juga layak terima sebanyak RM500.

"Pembayaran sebanyak RM250 akan dibuat Jabatan Perkhidmatan Awam dan bakinya sebanyak RM250 akan dibayar jabatan di mana pegawai sedang berkhidmat," katanya menerusi Pekeliling Perkhidmatan Awam, hari ini.

Sebelum ini, penjawat awam turut mendapat manfaat bantuan kewangan dalam Pakej Prihatin Rakyat menghadapi krisis Covid-19.