IPOH - Penggunan teknologi robotik dan kecerdasan buatan (Al) di Pasar Ayam Amanjaya di sini yang dimulakan sejak November tahun lalu telah membuka lembaran baru khususnya dalam pengurusan pasar yang lebih sistematik dan terkini.

Selain mengurangkan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing, aplikasi terkini itu bertepatan dengan kehendak norma baharu dalam menghadapi situasi Covid-19.

Teknologi sentuhan rendah tersebut kini menjalani fasa pengujian secara 'sandbox' di persekitaran sebenar bagi mendapatkan data berkaitan keberkesanan fungsi dan reka bentuk, tahap keselamatan, pematuhan regulatori dan impak ekonomi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, ia juga bagi membantu pelbagai sektor industri meneruskan operasi untuk menjana ekonomi dalam keadaan selamat dan selesa.

Menurut beliau, teknologi sentuhan rendah adalah satu pendekatan yang menggunakan teknologi berimpak tinggi untuk masyarakat meneruskan aktiviti kehidupan dengan meminimumkan sentuhan fizikal dan interaksi secara bersemuka.

"Contohnya, lapan orang pekerja pembersihan boleh digantikan dengan seorang pekerja sahaja untuk memantau pergerakan robot.

"Jadi kita boleh fokuskan juga teknologi sama pada sektor yang diberikan fokus seperti pengangkutan, pembinaan, perumahan, kerajaan tempatan, kesihatan, pertanian, pelancongan dan pembuatan," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada program Pelancaran Aplikasi Robotik dan Kecerdasan Buatan di Pasar Ayam Amanjaya di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Zuraida Kamaruddin dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud.

Inisiatif ini diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berdasarkan salah satu keputusan Mesyuarat Kumpulan Kerja 9 (Sains dan Teknologi) di bawah Jawatankuasa Strategik Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Projek dibiayai oleh geran Sandbox Inovasi dan Teknologi Kebangsaan (NTIS) di bawah MOSTI yang merupakan salah satu inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Terdapat empat jenis robot yang telah diuji di pasar ini iaitu robot mencuci lantai, robot mengangkut barang, kenderaan mengangkut barang dan robot mengambil sampah.

Robot-robot tersebut turut dimashyurkan dengan nama bercirikan jatidiri Perak, iaitu Badang Manjoi, Badang Tambun dan Badang Gopeng.

Sementara itu, Zuraida memberitahu, KPKT dan MOSTI akan meneruskan kerjasama dalam usaha-usaha menaik taraf prasarana awam melalui teknologi dan inovasi hasil R&D tempatan.

Katanya, ia selari dengan matlamat untuk menjadi Malaysia negara berteknologi tinggi lantas memerlukan kerjasama daripada semua pihak merangkumi keseluruhan rantaian nilai bagi membina sebuah ekosistem yang moden, hijau dan pintar.