IPOH - Bazar Ramadan boleh dilaksanakan tahun ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dan kemas serta pemantauan rapi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya akan memperincikan perkara itu bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada mesyuarat akan datang.

"Kita akan teliti SOP lagi sekali untuk lebih kemas dan efisien. Saya kira tidak akan jadi masalah kerana dalam keadaan sekarang aktiviti ekonomi sudah dibenarkan.

"Sebab aktiviti pasar dan pasar malam juga sudah boleh buka, jadi InshaALLAH (bazar Ramadan) boleh dilaksanakan," katanya

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Aplikasi Robotik Kecerdasan Buatan di Pasar Ayam Amanjaya di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Pada masa ini di Perak, hanya Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) membenarkan pelaksanaan bazar Ramadan dengan mengikut peraturan pasar malam dan pasar pagi yang dikuatkuasakan.

Manakala pihak berkuasa tempatan lain seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) hanya akan membenarkan bazar Ramadan tertakluk kepada keputusan kerajaan negeri.