KUALA LUMPUR - Harga runcit petrol RON97 dan RON95 masing-masing naik sebanyak 6 sen seliter iaitu daripada RM1.55 seliter kepada RM1.61 seliter bagi RON97 dan  RM1.25 seliter kepada RM1.31 seliter bagi RON95. 

Sementara itu, harga runcit diesel naik sebanyak 5 sen seliter iaitu daripada RM1.40 seliter kepada RM1.45 seliter.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan media hari ini memaklumkan harga runcit produk petroleum terbabit adalah bagi tempoh 16 Mei 2020 hingga 22 Mei 2020.

Kenaikan tersebut adalah disebabkan oleh peningkatan harga minyak yang diproses (refined product), selari dengan kenaikan harga minyak mentah dunia.

Walaubagaimanapun, Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia dari semasa ke semasa. 

Kerajaan juga akan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Sebelum ini, harga petrol dan diesel menurun secara mendadak dipercayai akibat impak penularan wabak Covid 19 di seluruh dunia.