KUALA LUMPUR - Malaysia dan China komited untuk mempertingkatkan kerjasama pertahanan sedia ada. 

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, komitmen kerjasama itu dinyatakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila menerima panggilan telefon daripada Menteri Pertahanan China, Wei Fenghe jam 4 petang tadi.

Dalam kenyataan tersebut, Ismail Sabri dan Fenghe turut menyentuh mengenai cabaran keselamatan serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk Laut China Selatan. 

"Perbincangan antara kedua-dua menteri turut bertumpu kepada krisis global semasa iaitu wabak Covid-19 dengan berkongsi pengalaman mengenai langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan di negara masing-masing dalam menangani situasi penularan wabak tersebut," menurut kenyataan itu. 

Dalam pada itu, Kedua-dua Menteri berkenaan bersependapat bahawa adalah amat penting bagi setiap negara untuk terus bekerjasama dalam mendepani wabak Covid-19.

Ismail Sabri turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertahanan China atas sumbangan bekalan 13 jenis peralatan perubatan yang akan membantu petugas barisan hadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

Fenghe juga turut mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan sebagai Menteri Kanan (Keselamatan) dan Menteri Pertahanan Malaysia.