PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) komited dalam membantu usaha kerajaan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 'Total Lockdown' di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Bagi memastikan SOP PKP 3.0 Sektor Perdagangan Pengedaran semasa tempoh tersebut dilaksanakan dengan efektif, seramai 2,262 orang pegawai penguat kuasa seluruh negara digerakkan untuk memastikan pematuhan sepenuhnya SOP yang ditetapkan ini di semua premis perniagaan peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran.

Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP dalam satu kenyataan memberitahu, sejak pelaksanaan penguatkuasaan ini bermula 13 Mei 2020 sehingga 11 Jun lalu, sejumlah 590,876 premis telah diperiksa dan daripadanya 346 kompaun dikenakan atas pelbagai perlanggaran SOP dengan nilai kompaun sebanyak RM2.36 juta.

Menurut kenyataan tersebut, berdasarkan statistik tersebut, pematuhan dalam sektor perdagangan pengedaran memuaskan di mana 98.52 peratus premis patuh pada SOP.

“Tindakan penguatkuasaan pematuhan SOP sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 3.0 bermula 1 sehingga 11 Jun lalu pula telah menyaksikan 160 kes yang dikenakan ke atas syarikat dan individu di bawah Akta 342 dengan nilai kompaun sejumlah RM1,091,500.

“Berdasarkan statistik, sebanyak 74 aduan diterima daripada orang awam dan kesemuanya telah disiasat sepanjang tempoh PKP 3.0,” ujar kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, Kementerian menyarankan agar semua pemain industri di bawah sektor perdagangan pengedaran khususnya untuk memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya oleh pekerja dan pelanggan masing-masing.

Pemilik premis perniagaan juga hendaklah sentiasa proaktif, peka dan memastikan pematuhan SOP sentiasa berada ditahap yang maksimum bagi memastikan keselamatan premis masing-masing serta tidak mewujudkan kluster baru Covid-19 di bawah sektor perdagangan pengedaran.

Kerjasama semua pihak dalam sektor perdagangan pengedaran khususnya perlu diperkukuh untuk mengimbangi kelangsungan ekonomi domestik negara dan mengawal penularan Covid-19 serta memastikan kesihatan rakyat terus terjamin.