CYBERJAYA – Masalah liputan capaian telekomunikasi dan internet akan dihadapi pengguna rangkaian TM Unifi Mobile dan Celcom di Seberang Perak, Perak Tengah, Perak berikutan kejadian menara milik TM tumbang pada Ahad lalu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memberitahu, kejadian tersebut berlaku akibat hujan lebat dan angin kencang pada jam 4 petang.

"Menara milik TM dikongsi bersama dengan Celcom dan ekoran itu gangguan liputan dijangka berlaku kepada pengguna kedua-dua penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbabit.

"Bagaimanapun, MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih segera," ujar kenyataan tersebut.

Jelas MCMC, sebagai langkah awal, Mobile Base Transceiver Station (MBTS) akan digerakkan ke lokasi kejadian untuk memberikan perkhidmatan dan memulihkan liputan selewat-lewatnya Jumaat ini.