IPOH – Pereka grafik kontroversi, Fahmi Reza akan disiasat oleh pihak polis susulan penyiaran satu poster ubah suai yang memaparkan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Siasatan itu berikutan laporan polis oleh Pemuda UMNO Perak kerana didakwa mempunyai unsur fitnah, sengaja menimbul kebencian dan pada masa sama sengaja mengabikan imej Menteri Besar Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan telah dibuka dan pihaknya akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan.

“Kita akan memanggil Fahmi dan beberapa individu lain untuk memberi keterangan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya di sini.

Sebelum ini, tular satu poster memaparkan Saarani dengan catatan ‘kita dah bagi makan sardin, jangan gatal nak mintak ayam pulak’ yang dimuatnaik di laman Facebook dan Twitter.

Poster berkenaan dipercayai dimuat naik pengguna media sosial, Fahmi Redza yang kemudian mengundang kecaman dan maki hamun pengguna media sosial lain termasuklah mendakwa Menteri Besar Perak sebagai angkuh dalam isu pemberian telefon pintar kepada pelajar miskin di negeri itu.

Fahmi Redza sebelum ini juga telah beberapa kali ditahan dan disiasat polis berhubung penularan poster atau rekabentuk grafik yang bersifat biadab serta kurang sopan.

Pada 24 April lalu dia dibebaskan dengan jaminan polis setelah ditahan dan memberikan keterangan berhubung siasatan tuduhan hasutan susulan satu laporan polis yang diterima berkaitan satu hantaran menggunakan akaun Facebook Fahmi Reza yang didapati menghina Raja Permaisuri Agong.

Hantaran itu mengandungi sekeping gambar Raja Permaisuri Agong dengan perkataan 'This is dengki ke?'

Fahmi Reza atau nama sebenarnya Fahmi Reza Mohd Zarin ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.