PUTRAJAYA - Kira-kira 3,212 kenderaan ditahan Selasa lalu, kerana cuba merentas negeri dipercayai untuk pulang ke kampung sempena perayaan Aidilfitri. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, jumlah itu naik sekali ganda berbanding 1,633 kenderaan pada Isnin.

"Daripada seribu lebih yang kita anggap tinggi semalam, hari ini 3,200 lebih bermakna yang berminat nak balik kampung ni masih ramai dan cuba nak melepaskan sekatan jalan raya.

"Ini menunjukkan masih ramai yang berminat untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri meskipun operasi ketat sedang dijalankan" katanya pada sidang media sini. 

Beliau berkata, sehingga semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan 216 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan terhadap 318,082  kenderaan.

"Setakat ini polis tegas dan tidak membenarkan sesiapa pun untuk merentasi negeri untuk balik ke kampung kecuali kes kecemasan yang perlu mendapat kebenaran dari pihak berkuasa," jelasnya.