PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjalani kuarantin selama 14 hari mulai petang tadi selepas menjadi kontak rapat kepada seorang pegawai yang disahkan positif Covid-19. 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri, pegawai tersebut hadir pada mesyuarat pasca-Kabinet di Pejabat Perdana Menteri Rabu lalu. 

Perdana Menteri turut hadir mempengerusikan mesyuarat berkenaan. 

"Berikutan itu, Perdana Menteri menjalani ujian saringan Covid-19 pagi tadi dan disahkan negatif.

“Bagaimanapun, menurut Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Covid-19 (Seksyen 15(1) Akta 342), Perdana Menteri perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai petang ini,” ujar kenyataan berkenaan. 

Semua yang menghadiri mesyuarat tersebut juga diarahkan untuk menjalani ujian saringan dan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari bermula hari ini.

"Sebagai makluman, setiap mesyuarat yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri mengamalkan penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan yang ketat pada setiap masa," menurut kenyataan itu.