PUTRAJAYA – Pemberian vaksinasi di negara ini berjalan sepertimana dijadualkan apabila kadar pemberian vaksin terus mencatatkan peningkatan dengan rekod tertinggi dicatatkan semalam iaitu sebanyak 507,050 dos.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, angka itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang menerima dos pertama setakat ini adalah seramai 10,920,860 dan 5,104,054 menerima dua dos suntikan vaksin.

“Sejak 12 Julai lalu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya merekodkan pemberian dos harian sebanyak lebih 400,000 dos hampir setiap hari.

“Alhamdulillah semalam, kita berjaya mencapai kadar vaksinasi harian tertinggi setakat ini iaitu 507,050 dos,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa seramai 46.7 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos dan seramai 21.8 peratus pula sudah mendapat dos penuh.

“Pencapaian ini selari dengan sasaran yang ditetapkan dan sudah semestinya perlu dipertingkatkan lagi supaya sasaran 26 juta penduduk Malaysia menerima vaksinasi lengkap berjaya dicapai.

“Dengan vaksinasi, kita akan dapat membantu mengurangkan beban kes di hospital dan mengurangkan kes-kes jangkitan yang teruk, seterusnya melancarkan usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara, insya-Allah,” katanya.

Pada masa sama, beliau menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan terhadap PICK  terutamanya kepada petugas-petugas barisan hadapan dan sukarelawan pusat pemberian vaksin yang membantu melancarkan pelaksanaan program ini.