BAGAN SERAI- Tindakan suspek membuang bungkusan plastik merah yang mengandungi dadah di kawasan rumput di susur keluar di Hentian Rehat & Rawat Gunung Semanggol, arah selatan, gagal mengelakkan dirinya dari ditahan polis, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian 29 Mei lalu, sekitar jam 4.30 petang, suspek berusia 30-an yang memandu kenderaan jenis BMW 325i Sports E90, dilihat menghentikan kenderaannya di lokasi. 

Menurutnya, suspek kemudian keluar dari kenderaan sambil memegang bungkusan plastik berwarna merah dalam keadaan mencurigakan. 

"Terdahulu sepasukan anggota risikan dari cawangan siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bersama pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak membuat pemantauan ke atas suspek yang dipercayai berhubung kait dengan kes pecah kedai di sebuah pusat membeli belah di Taiping pada 21 Mei lalu. 

"Sebaik dihampiri anggota kita, suspek bertindak membuang bungkusan plastik berwarna merah yang dipegangnya ke atas rumput. 

"Suspek kemudiannya ditahan dan pemeriksaan ke atas beg sandang suspek telah menemui wang tunai berjumlah RM12,000, seutas jam tangan berjenama Casio dan telefon bimbit. 

"Pemeriksaan susulan ke atas bungkusan plastik merah itu pula menemui enam peket plastik biru mengandungi 1,200 biji pil kuda dan dua peket lutsinar dipercayai dadah jenis syabu seberat 59 gram,"katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media di IPD Kerian selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Balai Polis Simpang Empat Semanggol di antara pemangku, Sarjan Azizi Abas dengan Sarjan Mejar V Sureskumar. 

Jelasnya, kesemua dadah yang dirampas bernilai RM11,500 di pasaran dan cuba dijual di sekitar Kuala Lumpur. 

"Siasatan awal turut- mendapati suspek memperolehi bekalan dadah ini dari negeri di Pantai Timur. 

"Suspek bersama dadah yang dirampas telah di bawa ke IPD Kerian manakala wang tunai dan jam yang ditemui pula diserahkan kepada IPD Taiping. 

"Suspek kini berada dalam siasatan polis di IPD Taiping dan akan dibawa ke IPD Kerian esok untuk siasatan dan permohonan reman,"katanya. 

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.