IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan bahawa Kerajaan Negeri menerima pakai semua pembukaan sektor dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Beliau berkata demikian berikutan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), menunjukkan penularan pendemik Covid-19 semakin terkawal sekaligus membuka peluang semula perniagaan dan ekonomi rakyat.

“Semua aktiviti perniagaan, sosial dan rekreasi yang belum dibenarkan turut terpakai dalam Perak.

"Pada masa sama, kita sedang memperhalusi dan memperketatkan SOP untuk pasar pagi, pasar terbuka, pasar tani, pasar dan bazar ria.

"Kita menerima banyak permintaan dari peniaga pasar kecil terutamanya untuk memulakan perniagaan.

"Kerajaan Negeri amat menitik beratkan SOP yang telah ditetapkan bagi semua pasar-pasar yang terbabit”, katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, waktu pembukaan bagi pasar pagi dan pasar terbuka ditetapkan dari jam 6 pagi hingga 11 pagi, pasar malam 4 petang hingga 10 malam dan bazar ria 5 petang hingga 11 malam.

Tambahnya, jarak sosial kedudukan gerai juga ditetapkan di antara 1.5 meter hingga 2 meter dalam lokasi kawasan terbuka serta berpagar bagi mengawal keluar masuk sehala.

Menurutnya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) haruslah bekerjasama dengan persatuan-persatuan payung yang mengawal pasar-pasar pagi dan pasar malam dalam memastikan orang ramai mengikut SOP yang disyaratkan.

“Bagi SOP kedai gunting rambut, ‘hair dresser’ dan salon kecantikan pula kita hanya mengikut apa yang telah ditetapkan. Waktu operasi bermula jam 8 pagi hingga 11 malam. Waktu kehadiran pelanggan dari jam 9 pagi hingga 10 malam. 

“Premis perniagaan haruslah sentiasa melalui proses nyah kuman sebelum, semasa dan selepas. Proses saringan pelanggan haruslah dipatuhi terutamanya kumpulan berisiko iaitu pelanggan berumur kurang 12 tahun dan 60 ke atas.

“Untuk latihan sukan berpasukan dan sukan tempur pula haruslah membuat permohonan melalui persatuan dan seterusnya dengan pihak PBT untuk mendapatkan kebenaran sebelum memulakan latihan”, ujarnya.