KUALA KANGSAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan sumbangan pada keluarga tiga pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara.

Sumbangan berkenaan disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Syed Fazmi Sayid Mohamad pagi tadi di Hotel Casuarina Kuala Kangsar di sini.

Beliau mewakili Perdana Menteri menziarahi keluarga pelajar terlibat nahas sebagai rasa simpati selain turut bersedih atas kemalangan yang berlaku.

Syed Fazmi ketika ditemui memberitahu, sumbangan ikhlas tersebut sebagai tanda keprihatinan Perdana Menteri.

"Dikesempatan ini saya ingin menyampaikan ucapan takziah daripada Perdana Menteri kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat.

"Beliau turut mengarahkan supaya tindakan segera perlu diambil berhubung insiden yang menimpa kelima-lima mangsa," ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.52 tengah malam itu, kesemua mangsa rentung setelah kereta jenis Honda City dinaiki mereka terbakar selepas terlibat kemalangan membabitkan dua treler masing-masing membawa muatan mozek dan besi pagar.

Dalam pada itu, turut menziarahi keluarga pelajar terlibat ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd. Yazid yang juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

Beliau yang meluangkan masa kira-kira 30 minit turut memberikan kata-kata semangat kepada ahli keluarga selain tabah dengan dugaan yang dihadapi.