IPOH: Bandar Meru Raya, Ipoh di sini akan menjadi lokasi kepada Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Projek yang menelan kos sebanyak RM654 juta itu juga menjadikan ia sebagai satu-satunya pusat rehabilitasi di Malaysia dan rantau Asia Tenggara yang menggabungkan rehabilitasi perubatan dan vokasional. Di samping dilengkapi pelbagai kemudahan berteknologi tinggi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, pembangunan peringkat awal menyasarkan kos kira-kira RM500 juta, namun meningkat susulan kos barang keperluan asas seperti simen dan besi.

Ujarnya, projek yang dijangka siap menjelang akhir tahun 2024 di kawasan seluas 37.5 hektar itu merupakan inisiatif Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya PERKESO.

"Ia bagi menyediakan perkhidmatan rehabilitasi dan pemulihan yang lebih berkualiti kepada golongan pekerja selain membantu memperluas perkhidmatan ini kepada orang awam khususnya di Zon Utara.

"Saya akan mengingatkan kepada semua pihak yang terbabit agar sensitif dengan pembangunan projek ini dan ia akan sentiasa dipantau oleh Menteri Besar Perak dan Pejabat Istana.

"Projek ini akan memulakan pembinaan fasa pertama membabitkan kos sebanyak RM654 juta yang disasarkan siap pada sebelum atau penghujung 2024," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas hadir menyempurnakan majlis pecah tanah pusat rehabilitasi berkenaan di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Katanya lagi, pelaksanaan projek itu sekali gus membuka platform perkhidmatan berkaitan teknologi robotik kepada negara jiran.

"Keunggulan kita melalui pelaksanaan projek yang mendapat kerjasama strategik dari negara Jepun ini juga akan membabitkan kerjasama dengan negara lain.

"Ini bermakna ia akan menjadi satu-satunya negara dan negeri yang mengadakan kemudahan robotik," katanya lagi.

Sementara itu Saarani berkata, kerajaan negeri akan memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi proses pemilikan tanah.

"Kita mengalu-mengalukan keputusan Kementerian dan PERKESO bersetuju memilih negeri Perak sebagai lokasi tapak pembangunan.

"Tapak ini paling sesuai dan kita mengambil masa kira-kira setahun bagi menyelesaikan perkara berkaitan dengan pemilikan tanah," katanya.

Pusat rehabilitasi ini berupaya memuatkan 700 orang pesakit pada satu-satu masa dengan dilengkapi kemudahan teknologi robotik terkini seperti rawatan neuro-robotik dan Cybernics dari Jepun.

Tambah Saarani, pusat ini bukan sahaja menyediakan pekerjaan, tetapi juga memberi ruang dan peluang kepada pekerja khususnya anak-anak muda mendalami bidang berkenaan.

"Saya dimaklumkan hampir 400 peluang pekerjaan tetap akan diwujudkan untuk mengendalikan perkhidmatan dan kemudahan di pusat ini.

"Saya yakin, pusat ini bukan sahaja menyediakan pekerjaan, tetapi juga memberi ruang dan peluang kepada pekerja khususnya anak-anak muda untuk membina kerjaya dengan mendalami selok-belok industri rawatan kesihatan berteknologi tinggi," katanya.