IPOH -Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak berjaya membongkar kegiatan penyelewengan bahan api bersubsidi hasil pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Pantai Remis dekat Manjung semalam.

Pengarah KPDNHEP Negeri Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, tindakan tersebut dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Manjung.

Menurut beliau, pemeriksaan pada pukul 12 tengahari itu dibuat berdasarkan aduan dan maklumat risikan berkaitan aktiviti pembelian diesel subsidi menggunakan lori tangki secara berulang.

"Intipan mendapati sebuah lori tangki berulang kali mengunjungi stesen minyak tersebut untuk membeli diesel dan melakukan pengisian ke dalam tangki kenderaan dalam tempoh satu hingga dua jam di stesen sama.

"Pemeriksaan mendapati seorang lelaki yang berumur lingkungan 20an telah mengisi sebanyak tiga kali di stesen tersebut manakala
pemilik stesen berusia 53 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan," ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua premis perniagaan stesen minyak dan pemborong barang kawalan diesel ini disyaki adalah individu yang sama dan pernah mempunyai rekod kesalahan lampau dengan KPDNHEP.

Aktiviti penyelewengan ini disyaki telah berlaku sejak lima bulan lalu hingga sekarang disebabkan harga minyak diesel (komersil) yang kini mencecah hampir RM5 satu liter.

Jelas Saifullizan, ia berbeza kerana harga minyak diesel di stesen minyak dijual pada harga RM2.15 satu liter.

"Susulan itu satu tindakan kes telah diambil ke atas kedua-dua premis yang melibatkan sitaan minyak diesel sebanyak 23,200 liter, sebuah lori tanker dan tiga unit skid tank.

"Turut dirampas ialah dua unit nozel dan pam minyak diesel dengan nilai keseluruhan sitaan kes ini dianggarkan berjumlah RM202,000," ujarnya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala denda tidak lebih RM2,000,000 bagi syarikat yang didapati terbabit dalam kesalahan itu.