TAPAH: Sebanyak lima lokaliti di negeri ini dipilih bagi pelaksanaan fasa pertama Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

Program berkenaan dilaksanakan secara berfasa dan akan melibatkan 1,000 lokaliti di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, fasa pertama mula dilaksanakan secara rintis pada bulan Jun di 80 lokaliti seluruh negara.

Ia membabitkan kira-kira 3,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar, termasuk lapan lokaliti yang melibatkan Perkampungan Orang Asli (KOA).

"Fasa pertama di Perak ialah Kampung Batu 3 Segari, Daerah Manjung; Kampung Batu 14, Daerah Kerian; Kampung Kuak Hulu, Daerah Hulu Perak; Perkampungan Orang Asli Kabel, RPS Banun, Daerah Hulu Perak.

"Perkampungan Orang Asli Pos Musuh Landing Zone, Daerah Batang Padang dan Perkampungan Orang Asli Pos Musuh Landing Zone," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujarnya lagi sebanyak lima program peningkatan pendapatan melibatkan 66 KIR miskin tegar telah diperaku untuk pelaksanaan secara berkelompok.

Antaranya adalah penanaman buluh madu dan cendawan, perusahaan madu kelulut, serta projek produk berasaskan buluh.

"Program ini dijangka akan meningkatkan pendapatan peserta seawal dalam tempoh 2 bulan," katanya.

Katanya lagi, berdasarkan data Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih) sehingga 31 Mei lalu, terdapat 8,025 KIR miskin tegar di negeri Perak, iaitu yang keenam tertinggi berbanding negeri lain.

"Kerajaan Persekutuan komited dalam usaha merapatkan jurang pendapatan dan menangani ketidaksamaan pembangunan antara wilayah dan negeri.

"Pada hari yang sama, saya juga melawat beberapa projek pembangunan dan sosial yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Lata Kinjang, di sini," katanya lagi.

Menyentuh berkenaan program itu, kerajaan mensasarkan kadar miskin tegar sifar pada akhir 2025.

Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah JPM yang telah diamanahkan oleh YAB Perdana Menteri untuk menyelaras dan memudah cara pelaksanaan BMTKM.

Terdahulu, dalam majlis yang dihadiri hari ini, beliau menyaksikan pertukaran Memorandum Kerjasama (MOC) di antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOALKB).

Mustapa berkata, menerusi jalinan kerjasama itu NCIA akan membimbing dan menyediakan KOALKB untuk membina keupayaan komuniti Orang Asli di Lata Kinjang sebagai projek perintis pembasmian kemiskinan di kalangan orang asli.