KAMPAR – Malang menimpa seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) apabila dia terjatuh ke dalam sebuah perigi di rumahnya di Kampung Malim Nawar Tin dekat sini, pagi ini.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, mangsa, P Ramasamy, 70, dipercayai tergelincir semasa cuba mengambil air lalu terjatuh ke dalam perigi sedalam kira-kira tiga meter.

Jurucakap bomba memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.27 pagi sebelum mengerahkan sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba Kampar ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, anggota bomba menemui mangsa yang berada di dalam perigi sambil menahan kesejukan.

“Anggota kemudian bertindak menggunakan hos kecil bersaiz 1.5 meter yang diikat dengan kaedah loop untuk membawa naik mangsa dengan selamat.

“Pemeriksaan mendapati mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan luka-luka kecil lalu diberi rawatan,” ujar jurucakap tersebut.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zulkarnain Ahmad itu tamat pada jam 8.05 pagi.