KUALA KANGSAR – Mayat seorang kanak-kanak yang dihanyutkan arus deras semasa mandi manda bersama keluarga dan rakan-rakan di sebatang anak sungai di Kampung Loh Karai, Enggor dekat sini semalam akhirnya ditemui kira-kira empat kilometer dari lokasi lemas.

Mangsa, Mohd Danish Irfan Mohd Baharudin, 6, ditemui orang awam yang membantu bomba dalam operasi mencari pada jam 10.08 pagi tadi dalam keadaan terapung.
Jurucakap bomba memberitahu, mayat mangsa dibawa naik sebelum diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut dan dihantar ke hospital untuk bedah siasat.
Menurutnya, operasi mencari disambung pagi semalam pada jam 8 pagi melibatkan 35 anggota terdiri daripada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan dibantu orang awam.
"Kawasan pencarian diperluaskan sejauh tujuh kilometer dengan teknik pencarian pada permukaan. Khidmat penyelam juga digunakan," ujar jurucakap tersebut.
Gerakan mencari yang diketuai Pegawai Penguatkuasa Bomba (PPgB), Hamidi Manas turut melibatkan enam buah bot milik pelbagai agensi.
Dalam kejadian jam 1.50 petang itu, mangsa lemas ketika mandi manda bersama rakan-rakan di Sungai Perak.
Bomba yang menerima panggilan kecemasan pada jam 2.06 petang menghantar sepasukan 10 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba Sungai Siput ke tempat kejadian.