GOPENG: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan pihaknya berniat untuk meneruskan projek pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar, jika diberi mandat menerajui pentadbiran negeri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, untuk itu pihaknya akan mencari tanah lain bagi merealisasikan hasrat berkenaan, susulan tanah sebelum ini sudah dijual kepada pihak lain.

"Itu (bina lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar) memang niat awal kita pada tahun 2017.

"Yang mana Datuk Seri Najib dah luluskan duit, kerajaan negeri Perak semasa BN pun dah luluskan tanah di Seri Iskandar.

"Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, bila bertukar kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH), Lim Guan Eng menarik balik wang tersebut dan pada waktu yang sama pimpinan waktu itu kerajaan PH telah pun menjual tanah itu kepada orang lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Himpunan Solidariti BN Gopeng@Sungai Rapat di Bilik Gerakan DUN N44 Kampung Meranti Changkat Larang di sini, pada Khamis.

Saarani berkata demikian sebagai mengulas kenyataan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed bahawa BN Perak mahu merealisasikan projek lapangan terbang tersebut.

Beliau berkata, pihaknya memang mempunyai niat untuk meneruskan projek itu sekiranya BN sekali lagi diberikan mandat untuk memegang tampuk pemerintahan.

"Niat itu ada, kita kena cari tanah yang sesuai, sebab tanah sudah tiada," katanya.

Terdahulu, media melaporkan BN Perak akan mengusahakan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar sekiranya dipilih sebagai kerajaan negeri semula.

Khairul Shahril dipetik sebagai berkata, Saarani telah pun memulakan inisiatif supaya projek tersebut dapat dijayakan semula.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengesahkan tanah untuk tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar, sudah dijual kepada sebuah syarikat swasta.