KUALA KANGSAR - Seramai 2,427 mahasiswa dan 184 pensyarah Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bersetuju menerima pakej khas Celcom Axiata bernilai lebih kurang RM500,000.

Pakej ini membolehkan warga USAS mengakses portal e-Learning untuk tujuan pembelajaran tanpa had sehingga bulan Disember ini.

Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof. Dr. Nordin Kardin berkata tawaran telekomunikasi data internet itu bertujuan memenuhi keperluan mahasiswa untuk aktiviti pembelajaran secara maya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pandemik COVID-19.

“Pakej ini membolehkan mahasiswa menggunakan data internet untuk melayari portal e-Learning tanpa had.

“Namun kegunaan selain daripada laman berkaitan e-Learning USAS ianya mempunyai had penggunaan data sebanyak 10GB sebulan,” katanya selepas majlis penyampaian kad sim Celcom kepada USAS di sini, pagi tadi.

Ketua Perhubungan Celcom Axiata Berhad, Mohd Hafizi Mohd Padely menyampaikan kad sim tersebut kepada Nordin.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Pentadbiran dan Kewangan USAS, Anas Md Yusof.

Menurut Nordin, inisiatif pakej khas itu diambil berikutan kaji selidik yang dijalankan terhadap mahasiswa USAS.

Majlis perwakilan Mahasiswa telah menjalankan dua soal selidik pada bulan Mac dan April lalu dan mendapati sebilangan besar mahasiswa mengalami masalah untuk mengakses internet sewaktu berada di luar kampus.

“Pada waktu ini semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran di USAS menggunapakai kaedah maya melalui Portal USAS Learning Management System (LMS). Malah kuliah yang dijalankan juga turut dijalankan melalui sidang video. Hanya pelajar baru, semester satu sahaja yang diwajibkan hadir ke kelas,” katanya.