Ipoh- Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengingatkan rakyat agar mengekalkan semangat patriotisme serta menjalinkan perpaduan erat sesama kaum tanpa mengira bangsa dan agama.

Bersesuaian dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun 2020 ini, “Malaysiaku Prihatin”, beliau berkata setiap orang harus memiliki peluang yang sama untuk berjaya dan mencipta kemajuan yang lebih baik.

“Bagi memastikan semangat dan nilai patriotisme terus mekar di kalangan rakyat Malaysia, sambutan Bulan Kebangsaan 2020 dilaksanakan secara hibrid yang menggabungkan dua kaedah secara fizikal dan virtual (maya).

 “Kesan daripada wabak Covid-19, sambutan Hari Kebangsaan kali ini pastinya berlainan. Namun ianya tetap diteruskan mengikut kawalan pihak keselamatan dan kesihatan yang telah ditetapkan”, katanya.

 Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Malis Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak 2020 kelmarin. 

 Sebanyak lima program sambutan kemerdekaan akan dilaksanakan mengikut kesesuaian Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam tempuh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

 Antara lima program tersebut ialah Merdeka Moment , Merdeka Community Bonding , Colourful Merdeka Contest, Bicara Kemerdekaan Dan Doa Untuk Malaysia dan Merdeka Talk.

Ahmad Faizal menambah Jalur Gemilang adalah lambang kepada negara dan menjadi nilai bangsa yang perlu kita hormati tanpa sebarang konflik.

“Marilah kita bersama menjadikan bulan kebangsaan ini sebagai satu tradisi bangsa Malaysia dalam menzahirkan kesyukuran dan terima kasih di atas kenikmatan yang kita miliki selama ini”, ujarnya.