IPOH – Belum ada tindakan kompaun dikenakan ke atas mereka yang tidak memakai pelitup muka di negeri ini, sebaliknya pihak polis mengambil pendekatan memberi teguran dan amaran dengan menasihati individu agar mematuhi arahan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, pendekatan itu dilihat berkesan apabila kesedaran masyarakat di negeri ini terhadap pematuhan berkenaan meningkat apabila ramai yang berbuat demikian atas kesedaran.

Bagaimanapun, beliau berkata, ini tidak bermakna polis kurang bertegas sebaliknya tindakan memberi nasihat dilihat sebagai langkah mendidik supaya individu berkenaan memakai pelitup muka bukan kerana dipaksa.

“Sehingga kini belum ada tindakan kompaun yang diambil atas kesalahan tersebut tetapi kita tetap pantau sekiranya keadaan (sikap masyarakat) langsung tidak mengambil berat atas arahan berkenaan.

“Ini kerana berdasarkan pemantauan boleh dikatakan hampir 99 peratus individu yang berkunjung ke tempat awam di negeri ini memakai pelitup muka,” ujarnya.

Beliau ditemui selepas hadir mewakili Ketua Polis negeri, Datuk Razarudin Husain pada Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Sementara itu dalam ucapannya, Boon Keng memberitahu kadar jenayah di negeri ini sepanjang Januari hingga Jun lalu menurun sebanyak 33 peratus apabila mencatatkan hanya 962 kes berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Dalam tempoh tersebut katanya, jenayah harta dan kekerasan masing-masing mencatatkan 752 dan 210 kes dengan penurunan kira-kira 33 peratus.

“Bagi kesalahan melibatkan jenayah komersil, sebanyak 1,131 kes telah dicatatkan iaitu peningkatan sebanyak 13 kes bersamaan 1.2 peratus bagi tempoh Januari hingga Julai berbanding tahun sebelumnya.

“Sebanyak RM23.3 juta kerugian direkodkan pada tempoh yang sama bagi pelbagai kes berkaitan urusan penipuan dan penyelewengan jual beli di negeri ini,” ujar beliau.