IPOH - Sejumlah 6,999.25 tan sampah haram berjaya dibersihkan di 1,672 lokasi yang mengambil masa sebanyak 13,140 kali sejak 1 Januari hingga 6 Ogos.

Datuk Bandar Ipoh , Datuk Rumaizi Baharin berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah mengeluarkan sebanyak 541 tawaran kompaun yang berjumlah RM 438,600 dalam tempoh tersebut.

"MBI begitu memandang serius masalah pembuangan sampah. Kita tidak akan teragak-agak mengenakan kompaun kepada yang masih melakukan pembuangan sampah haram.

"Diharapkan warga bandaraya Ipoh memberi kerjasama terbaik sepertimana hasrat kita untuk merealisasikan Ipoh sebuah bandaraya sejahtera dan bandar terbersih di Malaysia menjelang tahun 2023 tercapai," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Gotong-Royong Pembersihan Merdeka Zon Pasir Pinji dan Pelancaran Kebun Komuniti di Pasir Pinji pagi tadi.

Lebih 200 orang peserta dari MBI dan turut disertai peserta dari Puncak Emas Infra Sdn Bhd, Pertubuhan Bukan kerajaaan (NGO), agensi kerajaan dan warga Pasir Pinji.

Program anjuran MBI dengan kerjasama Platun Rela dan NGO Pasir Pinji itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin binti Mohammed Radzi.

Sementara itu, Nolee berkata, penganjuran program itu bertepatan dengan sambutan kemerdekan selain dapat mengeratkan silaturahim serta interaksi sesama penduduk.

"Melalui program ini akan menyemarakkan lagi semangat perpaduan dengan penglibatan pelbagai kaum tanpa memikirkan sebarang perbezaan kaum dan agama," katanya.