KUALA KANGSAR – Kerajaan negeri Perak memperuntukan sejumlah RM500,000 bagi memajukan sukan secara maya, e-Sport.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Khairul Shahril Mohamed berkata peruntukan tersebut bukan sekadar untuk penganjuran pertandingan tetapi untuk memajukan e-Sport menerusi aktiviti promosi. 

“Kita percaya sukan ini berpotensi seperti di luar negara di mana ianya membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda selain menajamkan minda dan pemikiran.

“Kajian membuktikan bahawa permainan secara online mampu memperbaiki fungsi otak serta meningkatkan keupayaan mental dalam multi-tasking dan penyelesaian masalah yang pastinya dapat membantu pelajar dalam pembelajaran”, katanya.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian USAS Santai Gaming (USG) di Universiti Sultan Azlan Shah (USUS) baru-baru ini.

Turut hadir ADUN Bukit Chandan Maslin Sham Razman, Timbalan Naib Canselor Akademik Dan Hal Ehwal Pelajar USAS, Prof. Dato’ Dr. Wan Sabri Wan Yusof, dan Timbalan Naib Canselor Pentadbiran dan Kewangan USAS Anas Md.Yusof.

Program dua hari itu dianjurkan oleh Persatuan Sains Teknologi dan Multimedia bersama Majlis Perwakilan Mahasiswa USAS. Seramai 288 orang peserta bertanding untuk merebut hadiah terkumpul sebanyak RM4,000.

Sebanyak 32 pasukan bertanding dalam kategori Unknown Battle Ground (PUBG) dan 32 pasukan lagi dalam Mobile Legend Bang Bang (MLBB). Juara akan menerima RM900, manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing akan memenangi wang tunai sebanyak RM700 dan RM400 bagi setiap kategori.

Menurut Khairul Shahril, penganjuran program ini juga bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama berpasukan disamping dapat mengeratkan lagi hubungan di antara mahasiswa USAS sewaktu PKP.

"Tahniah kepada pelajar USAS di atas penganjuran kejohanan e-Sport ini dan berharap lebih banyak lagi pertandingan akan diadakan terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)’, katanya.