IPOH- Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu meminta orang ramai bertenang dan bersabar berhubung dengan pergolakan politik negeri Perak sekarang ini.

Beliau berkata demikian apabila menjawab beberapa soalan mengenai kedudukannya sebagai Menteri Besar setelah beliau gagal mendapat sokongan majoriti daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dalam undi usul percaya terhadapnya semalam.

“Rakyat tidak perlu runsing dan bimbang mengenai apa yang terjadi terhadap pentadbiran negeri Perak. Sebenarnya saya berasa susah hari kerana tidak berkesempatan untuk membentangkan belanjawan negeri Perak yang sepatutnya dibentangkan semalam.

“Banyak berita baik yang ingin disampaikan melalui belanjawan itu terutamanya kepada penjawat-penjawat awam. Namun keadaan sekarang kita perlu bersabar dan berdoa agar masalah ini dapat di selesaikan dengan baik”, katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Mok Cek Sumbangan Kepada SUWA di Pejabat Menteri Besar di sini, pagi ini.

Walau bagaimanapun beliau yang juga Pengerusi BERSATU Negeri berkata kesemua parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN)  akan segara mengadakan perbincangan berhubung perkara itu mengikut keperluan dan kehendak sesuatu parti.

Menurutnya semua parti mempunyai pelbagai kehendak dan keperluan namun untuk menubuhkan sesuatu kerajaan yang stabil maka semua ahli parti perlulah berkorban untuk berkerjasama bagi mewujudkan satu kerajaan yang stabil.

“Jawatan saya masih berfungsi seperti biasa sehingga seorang daripada ahli  DUN dapat membuktikan beliau mempunyai mandat dan mejoriti didalam dewan.

“Sekiranya DYMM Paduka Seri Sultan Perak yakin serta memperkenankan mandat seseorang itu, maka sudah tentunya  saya akan meletakkan jawatan dan membenarkan transisi berjalan dengan baik”, ujarnya.

End//