Kuala Kangsar, 10 Dec : Menteri Besar Perak baharu Datuk Saarani Mohamad menyeru semua pihak untuk sama-sama mara ke hadapan dengan meletakkan agenda pembelaan rakyat sebagai keutamaan.

Menurut beliau amanah yang baharu diberi sebagai menteri besar bukan untuk kepentingan diri tetapi untuk memastikan kerajaan negeri Perak ditadbir secara berhemah, adil lagi saksama kepada setiap lapisan rakyat,

“Saya juga menyedari betapa pandemik Covid-19 yang terus menghambat ekonomi negeri dan rakyat adalah cabaran getir yang perlu dihadapi oleh kerajaan dan ia hanya mampu diharungi dengan komitmen jitu semua pihak termasuk kakitangan awam di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Justeru, barisan pentadbiran kerajaan negeri perlu memastikan Bajet Negeri Perak 2021 yang akan dibentangkan tidak lama lagi bukan sahaja mampu memulih dan memacu enjin ekonomi negeri, tetapi juga membantu rakyat yang terkesan untuk mencari jalan keluar  membina semula kehidupan”, katanya dalam sidang media yang diadakan di Dewan Jubli Perak, disini,sebentar tadi.

Saarani turut merakamkan penghargaan kepada bekas Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Faizal Azumu di atas jasa bakti sepanjang mengetuai jentera Kerajaan Negeri bersama barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan seluruh kakitangan awam.

“Saya berharap agar semua pihak dapat bersama-sama kembali  merapatkan saf bagi menggembeleng usaha serta tenaga demi kesejahteraan negeri Perak dan rakyatnya”, katanya.

End//