Ipoh – Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin, mengajak wargakota Ipoh agar terus memperkuatkan semangat, keazaman dan ikhtiar untuk bersama -sama membendung pandemik COVID-19 dalam situasi ekonomi yang mencabar.

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama-sama kerajaan negeri akan memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela walaupun melalui pelbagai rintangan dan cabaran untuk memulihkan ekonomi negara bagi memastikan tiada golongan yang tercicir atau tertinggal.

Menurutnya kerajaan telah merancang pelbagai pembangunan negeri secara teliti berlandaskan beberapa keutamaan yang digariskan sepanjang tahun 2021 sebagai strategi bersepadu pemulihan negara pasca COVID-19.

“Mempertingkatkan tahap kesihatan awam melalui perolehan bekalan vaksin COVID-19 dan melancarkan program vaksinasi di seluruh negara menjadi keutamaan disampai memperkukuh ekonomi prihatin rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca COVID-19 melalui pelaksanaan Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Kerajaan juga memastikan kestabilan politik dan kerajaan termasuk tadbir urus yang baik sebagai asas kepada pemulihan ekonomi yang mampan seterusnya menjamin kedaulatan negara terpelihara dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa diperhebatkan.

“Begitu juga kita mahu memperkukuhkan hubungan antara kaum dan agama dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu menentang sebarang ancaman”, katanya dalam ucapan sempena Mesyuarat Penuh Majlis bagi bulan Januari, disini, semalam.

Rumaizi Baharin menambah kesemua keutamaan itu selaras bersama visi jangka panjang kerajaan seperti yang terangkum dalam dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Katanya beliau yakin sekiranya keazaman yang disertai usaha gigih untuk memulihkan ekonomi negara, pastinya hasrat WKB 2030 akan tercapai.

“Kita menaruh harapan yang tinggi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif kepada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan akan tercapai dengan jayanya menjelang tahun 2030”, ujarnya - Peraktastic.